Kuala Terengganu : Majoriti masyarakat Cina di bandar ini mahu Kerajaan Pusat mengembalikan royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu.
Pengerusi DAP Kuala Terengganu Haw Hong, 62 datang sendiri ke pejabat UPKNT untuk menyatakan sokongan kepada Kerajaan Negeri menuntut hak menguruskan wang royalti itu.
Haw Hong yang juga anggota JSR bandar Kuala Terengganu mendakwa kebanyakan orang Cina menyokong bahawa Kerajaan Terengganu berhak mentadbirkan wang itu.
Ia juga berhak mengatur pembangunan dalam negeri ini.
Katanya, rakyat telah memberikan sokongan besar kepada Menteri Besar Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang untuk memimpin Kerajaan Negeri, dan kerajaannya berhak mengadunkan pentadbiran dan pembangunan Negeri Terengganu sehingga pilihanraya umum akan datang.
Haknya mentadbirkan royalti minyak itu telah dimeterai dalam perjanjian dengan Petronas.
Majoriti masyarakat Cina yang berjumlah kira-kira 10 ribu di sini, mengikutnya memihak kepada Kerajaan Negeri dalam isu ini.
Bagi Haw Hong, hasil minyak itu bukan untuk Menteri Besar dan ia juga bukan untuk partinya, tetapi ia adalah hak Terengganu seluruhnya.
"Jika Sabah dan Sarawak dibenarkan menerima royalti, mengapa Terengganu dikecualikan," soal beliau.
Sementara itu, beberapa kain rentang dari masyarakat Cina kelihatan digantung di hadapan pintu masuk Wisma Darul Iman. Antaranya berbunyi, "Kami masyarakat Tionghua menyokong penuh kepimpinan YAB Tuan Guru Menteri Besar," dan lain-lain yang juga mengandungi tulisan Cina.